Sunday, June 15, 2008

Majlis Perhimpunan Waris Opu Daeng Lima Bersaudara

Lima Bersaudara Mengorak Buana

Pihak Persatuan Keturunan Opu Daeng Perani akan mengadakan satu Majlis Perjumpaan Waris Opu Daeng Lima Bersaudara.

Tujuan diadakan majlis ini ialah untuk mengeratkan tali silaturrahim antara waris Opu Daeng Lima Bersaudara.

Tarikh: Sabtu, 12 Julai 2008
Waktu: 10.00 pagi - 6.00 petang
Lokasi: Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, Kedah

Pelbagai aktiviti akan dijalankan. Antaranya:

  • Bacaan tahlil
  • Syarahan mengenai Sejarah Bugis Malaysia dan Luar Negara
  • Jamuan Makan
  • Pameran Artifak Bugis
  • Sukaneka
  • Pendaftaran ahli persatuan

Penaung majlis ini ialah Tan Sri Dato' Professor Emeritus Dr. Ismail B. Hussein .


Kami menjemput & mengalu-alukan kehadiran semua waris keturunan Opu Lima Bersaudara dari Malaysia dan luar negara.


Kepada waris yang akan hadir, sila hubungi nombor yang tertera di bawah untuk mengesahkan kehadiran anda. Ini bertujuan untuk memudahkan pihak urusetia dan melancarkan perjalanan majlis ini.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Setiausaha Persatuan Keturunan Opu Daeng Perani di nombor +6012 5791984 atau +6012 5738234 / +6017 452 3119

Makam Opu Daeng Perani Diisytihar 14 Julai 2007

Lebih 200 keturunan Opu Daeng Lima Bersaudara berhimpun di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri pada 14 Julai 2007 bagi menyaksikan pemasyhuran Makam Opu Daeng Perani yang telah disahkan bersemadi di kampung itu.

Pertemuan pertama kali itu membabitkan kelima-lima keturunan Raja Bugis itu dibuat secara sederhana terapi meriah dengan pameran, majlis suai kenal termasuk bacaan tahlil dan doa selamat diketuai oleh Pengerusi Zuriat Opu Daeng Perani di Kedah, Wan Hizam Abdullah Sabil.

Turut hadir ialah wakil Persatuan Sejarah Malaysia [PSM] Cawangan Kedah, Abdul Aziz Long; Pengerusi Daeng Lima Bersaudara di Selangor, Raja Kamarul Raja Wahid dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Anak-anak melayu Bugis Malaysia, Raja Kamaruddin Raja Wahid.

Saturday, June 14, 2008

Pahlawan Bugis Yg Mangkat Di Kedah ~ Bahagian II

Daeng Perani Mangkat Di kedah

Dalam buku Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu & Bugis, dan Hikayat Siak dengan jelas menyatakan yang Opu Daeng Perani telah gugur di Kedah dalam pertempuran dengan Raja Kechil Siak. Dalam Tuhfat Al-Nafis mencatatkan:

Syahadan maka berapa antaranya maka kelengkapan Yang Dipertuan Muda [Opu Daeng Merewah] serta Opu-Opu itu mudik hendak melanggar Kubu Raja Kechil sebelah hulunya pada rumahnya dan apabila sampai ke kota hulu itu maka lalulah berperang yang sangat ramainya dengan gegak gempita berbedil-bedilan dengan meriam dan rentak serta tempik soraknya maka dengan takdir Allah Subhanahu Wa Taala sert adengan sudah sampai janjiNya maka Opu Daeng Perani pun kenalah pelurunya meriam tentang dadanya maka iapun mangkat di atas beranda hgurabnya dengan nama laki kerana waktu ia berperang besar itu bersiar-siar di atas beranda memerintahkan segala orang berperang itu .......

Seterusnya sumber ini mengatakan apabila Raja Kechil dikalahkan dan berundur ke Siak, “……Yang Dipertuan Muda serta Raja Tua, Daeng Menambun……dimakamkan mayat Opu Daeng Perani itu betapa adapt istiadat raja-raja mangkat……

Salasilah Melayu & Bugis pula mencatatkan gugurnya Daeng Perani di Kedah seperti berikut:

Syahadan maka Raja Kechil pun fakir, “Baik aku bedil Daeng Perani itu. Jika bertikam atau beramuk terlalu susah melawannya.” Dan setelah ia sudah berfikir itu lalu ia menyuruh cagakkan lela pada serambi rumahnya dihadapkan ke tengah sungai kerana khabarnya Opu Daeng Perani hendak memudikkan ghurabnya ke hulu sampai ke kampong rumah Raja Kechil itu sekali. Maka diisinyalah lelanya itu beberapa pucuk. Maka tiada berapa lamanya mudiklah ghurab Opu Daeng Perani itu ke hulu dengan beberapa perahu. Maka apabila bertentangan dengan rumah Raja Kechil itu belum sempat ghurab itu membedil, maka dibedilnya dahulu dari sampai ke rumah raja Kechil. Dengan takdir Allah Taala serta sampai janjiNya, maka kenalah Opu Daeng Perani di atas beranda ghurabnya itu. Maka Opu Daeng Perani pun rebahlah lalu mangkat.

Kemangkatan Opu daeng Perani itu membuatkan Daeng Chelak dan pengikutnya mengamuk menyerang Raja Kechil dan pengikutnya. Setelah Raja Kechil dikalahkan dan berundur ke Siak, Daeng Marewah [Yang Dipertuan Muda] dan Daeng Chelak mengebumikan mayat Opu Daeng Perani “……sebagaimana adapt istiadat raja-raja yang besar-besar”.

Daeng Perani Mangkat Di Kedah

Berdasarkan sumber yang dibincangkan di atas, Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu & Bugis serta Hikayat Siak, Opu Daeng Perani terkorban dalam pertempuran dengan Raja kechil di Kedah. Selain itu sumber itu juga mencatatkan yang Opu Daeng Perani telah dimakamkan di kedah. Persoalan yang timbul ialah lokasi atau makam Opu Daeng Perani di Kedah.

Dalam usaha menjejaki makam Opu Daeng Perani ini beberapa usaha telah dilakukan, antaranya mendapatkan maklumat awal tapak di Kedah. Penyelidikan juga dijalankan bagi mendapatkan makam Opu Daeng Perani yang terletak di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, Kedah. Kaedah penyelidikan ialah dengan temuramah atau sejarah lisan, melawat kampong dan makam berkaitan.

Setakat ini penyelidikan di Kampung Ekor Lubuk tidak ditemui sebarang nashkah Melayu yang menyentuh Makam Oopu Daeng Perani. Namun begitu tokoh-tokoh kampong dan beberapa org kampong yang disoal selidik dengan yakin menyatakan bahawa Makam Opu Daeng Perani ada di Kampung Ekor Lubuk. Antara mereka yang memberikan maklumat mengenai Makam OPu Daeng Perani di Kampung Ekor Lubuk ialah Che Gani, Wan Osman, Ustaz Wan Hizam dan Wan Hassan. Mereka ini jika disalurgalur ke atas akan sampai kepada keturunan Opu Daeng Perani dengan isterinya Tunku Aishah, saudara perempuan kepada Sultan Muhammad Jiwa Kedah. Mereka mendapat maklumat tersebut daripada keturunan terdahulu.

Keabsahan maklumat daripada mereka yang berkenaan boleh dipertanggungjawabkan. Selain daripada berasal daripada Kampung Ekor Lubuk, mereka adalah keturunan Opu Daeng Perani.

Nota: Kampung Ekor Lubuk dahulunya dikenali sebagai Teluk Bagan.

Petikan Kertas kerja yang dibentangkan dalam forum bertajuk ‘Di manakah Letak Sebenarnya Makam Daeng Perani’, bertempat di Muzium Negeri Kedah, Alor Setar, Kedah pada Ahad 13 Mei 2007. Oleh Abdullah Zakaria bin Ghazali – Jabatan Sejarah Universiti Malaya Kuala Lumpur.
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah Darul Aman telah bersetuju dan mengesahkan bahawa Makam Opu Daeng Perani adalah terletak di Kampung Ekor Lubuk, Mukim Sidam, Daerah Kulim, Kedah Darul Aman melalui surat pengesahan bertarikh 19 Jun 2007, yang telah dihantar kepada Persatuan Keturunan Opu Daeng Perani.

Pahlawan Bugis Yg Mangkat Di Kedah ~ Bahagian I

Asal usul Daeng Perani

Mengikut Catatan Raja Ali Haji dalam bukunya Salasilah Melayu dan Bugis serta Tuhfat Al-Nafis, Putera Bugis lima bersaudara ini adalah dari keturunan Opu Tendriburang Daeng Rilaga iaitu putera La Maddusalat, seorang Raja Bugis di negeri Luwuk. Opu Tendriburang Daeng Rilaga mempunyai lima orang anak iaitu Daeng Perani, Daeng Chelak, Daeng Marewah, Daeng Menambun & Daeng Kemasi.

Opu Daeng Rilaga bersama anak-anaknya keluar dari Luwuk setelah ayahandanya Opu La Maddusalat mangkat. Beliau memulakan perjalanan ke negeri To Pammana. Di sini beliau disambut meriah oleh pemerintah To Pammana. Beliau Kemudian ke Bone dan seterusnya ke Betawi bertemu dengan saudaranya Opu Daeng Biasa. Selepas pertemuan itu, beliau berangkat ke Siantan. Ketika di Siantan, Opu Daeng Perani telah berkahwin dengan anak Nakhoda Alang, keturunan Makasar. Dari Siantan Opu Daeng Rilaga bersama anak-anaknya mengambara ke Johor dan Melaka serta Kemboja. Setelah beberapa lama tinggal di Kemboja, Opu Daeng Rilaga dan anak-anaknya kembali ke Siantan. Apabila mereka sampai di Siantan, isteri Opu daeng Perani telah selamat melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Daeng Kemboja sempena kepulangannya dari negeri kemboja.

Tidak berapa lama pulang dari Kemboja, Opu Daeng Rilaga telah mangkat. Oleh yang demikian, peranan beliau telah diambil alih oleh Opu Daeng Perani.

Opu Bugis lima bersaudara ini kemudiannya telah terlibat dengan Johor, Linggi [Negeri Sembilan], Selangor, Perak & Kedah di Semenanjung Tanah Melayu, manakala Matan, Sambas & Mempawah di Kalimantan Barat.

Penglibatan Opu daeng Perani Di Dalam Politik Kedah.

Sebelum terlibat dalam politik Kedah, Daeng Perani dan saudaranya terlibat dalam politik Johor, membantu Raja Sulaiman Ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV mengalahkan Raja Kechil [Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, 1788 – 1722] dan menabalkan Raja Sulaiman sebagai Sultan Johor bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah [1722 – 1760], bersemayam di Pulau Bintan. Sebagai mengenang jasa bantuan dan menepati janjinya, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah melantik Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Johor [Yang Dipertuan Muda Johor] yang pertama.

Penglibatan mereka di kedah, seperti juga di Johor adalah dalam perselisihan takhta kerajaan. Penglibatan Opu Daeng Perani di Kedah dan berperang dengan Raja Kechil, Yang Dipertuan Siak digambarkan oleh Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu & Bugis serta Hikayat Siak.

Ketika berada di Selangor, Daeng Perani mendapat surat daripada Sultan kedah meminta bantuan. Beliau telah berangkat ke Riau berbincang lima bersaudara. Mereka berlima telah bersetuju dan berangkat ke Kedah mengadap Sultan kedah. Dalam pertemuan ini, Sultan kedah meminta Opu Lima bersaudara mengambil alih takhta kerajaan yang diduduki adinda baginda. Jika berjaya, Sultan kedah bersedia memberi ganjaran.

Peperangan berlaku diantara angkatan Sultan kedah yang lama angkatan yang disokong oleh Opu Bugis lima bersaudara. Peperangan berlarutan sehingga melebihi sebulan. Sultan kedah lama telah dikalahkan.

Pada 1136 Hijrah [1724] Opu Bugis lima bersaudara mendapat berita bahawa Raja Kechil Siak berada di kedah memenuhi jemputan Sultan kedah yang telah kalah membantu baginda menduduki semula takhta kerajaan Kedah. Opu Bugis Lima Bersaudara kembali membantu Sultan kedah dengan alas an perjanjian antara Sultan kedah dengan mereka belum selesai serta Opu Daeng Perani mempunyai seorang isteri di Kedah iaitu adinda kepada Sultan Kedah, Tengku Aishah.


Peperangan berlarutan selama dua tahun. Raja Kechil telah kalah dalam peperangan ini. Daeng Perani juga turut terkorban. Raja Kechil yang telah gagal , berundur ke Siak. Setelah Perang tamat, Daeng Chelak dan saudaranya Yamtuan Muda Daeng Marewah telah mengebumikan jenazah Opu Daeng Perani. Seterusnya Yamtuan Muda Daeng Marewah telah memohon kepada Sultan Kedah memohon kebenaran pulang ke Riau. Dengan itu, Daeng Marewah dan angkatan Bugis kembali ke Riau.

Nota: Petikan Kertas kerja yang dibentangkan dalam forum bertajuk ‘Di manakah Letak Sebenarnya Makam Daeng Perani’, bertempat di Muzium Negeri Kedah, Alor Setar, Kedah pada Ahad 13 Mei 2007. Oleh Abdullah Zakaria bin Ghazali – Jabatan Sejarah Universiti Malaya Kuala Lumpur